Operasi besar-besaran periksa bas, kata Loke


Kementerian Pengangkutan akan memulakan operasi besar-besaran terhadap semua bas, dimulakan dengan bas persiaran esok, kata menterinya Anthony Loke. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2024.

KEMENTERIAN Pengangkutan akan memulakan operasi besar-besaran terhadap semua bas, dimulakan dengan bas persiaran esok, kata menterinya Anthony Loke.

Beliau berkata ia susulan kemalangan maut di Genting Highland pada hujung minggu lalu yang menyebabkan dua pelancong dari China maut.

Loke berkata mesyuarat akan diadakan antara kementeriannya dan kementerian pelancongan tentang cara menambah baik penguatkuasaan SOP membabitkan syarikat pelancongan dan bas persiaran.

“Kita akan mengadakan operasi pemeriksaan semua bas, bermula dengan bas persiaran esok,” katanya dipetik daripada Free Malaysia Today.

“SOP sedia ada sudah ketat tetapi masalahnya adalah pematuhan. Operator itu (dalam kemalangan Genting Highland) tidak mematuhi SOP, iaitu termasuk had umur kenderaan,” katanya.

Loke berkata syarikat pelancongan yang terbabit dalam kemalangan itu juga sepatutnya didakwa kerana gagal mematuhi syarat lesen.

“Syarikat itu tidak mematuhi syarat lesen apabila membenarkan pemandu tanpa lesen memandu bas itu dan permit operasi bas tersebut tamat tempoh sejak pada 16 Februari lalu dengan usia bas melebihi 15 tahun.

Dalam kemalangan itu, dua warganegara China Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, meninggal dunia.

Bas itu membawa 18 pelancong luar negara, seorang pembantu dan pemandu pelancong.

Polis berkata pemandu bas berusia 32 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu selain mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan. – 1 Julai, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen