AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berjaya mengumpul RM160,000 untuk kawasannya apabila berjaya melengkapkan larian 200km dari Muar ke bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Larian bermula pada Jumaat lalu bertujuan menggesa kerajaan memberi peruntukan kepada kawasan yang dipegang wakil rakyat pembangkang.
Pada 5km terakhir perjalanan itu, Seyd Saddiq disertai Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Bersatu.
Mereka diraikan penyokong dan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang lain ketika tiba di bangunan Parlimen.
“Alhamdulillah, jumlah keseluruhan dikutip setakat ini untuk pusat khidmat Ahli Parlimen Muar mencecah RM160,000, jauh daripada sasaran awal RM100,000,” katanya.
Beliau berkata sumbangan itu diperoleh daripada kira-kira 2,000 penyumbang dan juga orang ramai ketika beliau berlari.
“Ada yang beri RM50, RM100 ketika saya berlari. Ada seorang kanak-kanak beri saya RM1. Ini sangat luar biasa kerana mereka tidak pernah berjumpa saya .
“Mereka juga mungkin tidak pernah sampai di Muar, tetapi mereka berkongsi aspirasi dengan saya. Itu sebabnya saya rasa ini bukan tentang Muar, tetapi Malaysia secara keseluruhannya,” kata bekas presiden Muda itu.
Sumbangan itu akan digunakan untuk menguruskan pusat khidmatnya di Muar dan mengagihkan bantuan kebajikan kepada penduduk di kawasannya. – 1 Julai, 2024.
Komen