-2.jpg)
MAHATHIR bukan sahaja satu susuk lelaki yang berpengalaman, malah beliau kini adalah sebuah institusi. Banyak orang bergantung padanya, secara sedar atau tanpa sedar.
Bagi musuh politiknya, nama Mahathir dipetik sebagai “Firaun” yang menjadi indikasi keberanian (heroic) musuh politik menyanggah “Firaun” Mahathir.
Bagi yang memujanya pula, nama Mahathir akan dipetik sebagai “alma mater” kepada prestasi atau pencapaian seseorang dalam kariernya. Begitulah Mahathir sebagai sebuah institusi.
Apa jua persepsi atau kritikan ke atas Mahathir, dia sendiri boleh menjawabnya. Dia tak perlu sesiapa untuk mempertahankan dirinya.
Banyak pihak yang berusaha menjadikan Mahathir tidak lagi relevan, mereka mengkritiknya, kadangkala menghinanya setaraf keldai tua di hujung kota.
Menariknya kali ini, kritikan itu datang dari penganalisis politik dengan menjadikan Mahathir sebagai subject matter kritikan mereka. Tanpa sedar mereka menjadikan Mahathir terus relevan.
Saya mengkritik pengkritik Mahathir, bukan kerana mahu membela Mahathir. Seperti saya tulis, Mahathir tak perlu sesiapa untuk membelanya.
Sebaliknya, saya mahu memberitahu bahawa dengan mengkritik Mahathir, tidak akan menjadikan mereka relevan atau disegani. Selalu yang berlaku, kritikan itu hanya menunjukkan kebodohan diri sendiri.
Dalam satu laporan media baru-baru ini, Hisommudin Bakar daripada Ilham Centre dan Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia mendakwa Mahathir sebagai punca perpecahan orang Melayu.
Dua orang pengkritik ini sebenarnya tidak berlaku adil kepada kritikannya sendiri. Kritikan tersebut adalah suatu dakwaan ke atas suatu peristiwa yang besar iaitu perpecahan bangsa Melayu. Bangsa berpecah; bukan kecil anak dakwaan ini.
Oleh kerana dakwaan ini berkaitan dengan suatu kejadian yang besar, maka tak logik dan tak adil kesalahan itu diletakkan ke atas seorang individu sahaja. Penyatuan atau perpecahan sesuatu, tak mungkin boleh terjadi dalam satu malam dan tak mungkin mampu dibuat oleh satu orang. Mustahil.
Justeru, jika pengkritik mahu berlaku adil atas punca perpecahan orang Melayu, maka mereka patut menyalahkan individu yang menjadikan Mahathir sebagai perdana menteri, iaitu Tun Hussein Onn.
Kesalahan itu haruslah diletakkan ke atas arwah Tun Hussein Onn kerana beliau telah salah memilih penggantinya.
Tetapi, itu juga tidak adil kerana yang menjadikan Hussein Onn sebegai PM ialah Tun Razak. Maka, Tun Razaklah yang sepatutnya dipersalahkan kerana tersalah memilih Husseinn Onn hingga Hussein Onn tersilap memilih Mahathir.
Puncanya pun masih belum lengkap kerana yang memilih Tun Razak ini Tunku Abdul Rahman. Maka, dua orang pengkritik ini perlu meletakkan punca perpecahan orang Melayu itu kepada semua pemimpin kita, kerana mereka semua telah salah memilih pengganti masing-masing.
Dan saya yakin, kalau diteruskan kajian ini, maka hujungnya akan bertemu dengan keturunan Wan Empok Wan Malini dari Bukit Si Guntang itu. Tahap ini, mungkin cerita dongeng akan bercampur dengan cerita sains, maka jadilah kisah sains fiksyen.
Tapi itu tak akan habis juga, kerana keturunan Wan Empok Wan Malini dari Bukit Si Guntang ini akan meleret-leret hingga ke keturunan Nabi Ibrahim, Nabi Nuh dan Nabi Adam.
Inilah hujah mengapa saya katakan, kritikan pengkritik tersebut, tidak adil kerana selektif dan menolak faktor-faktor lain yang menjadikan Mahathir sebagai PM yang didakwa telah memecahbelahkan orang Melayu.
Maka, kesimpulan ke atas kritikan dua orang penganalisis ini, mereka semata-mata menjawab soalan ketika ditanya oleh wartawan media. Bukan suatu kenyataan yang dibuat berdasarkan kajian empiris daripada mana-mana kajian sejarah politik.
Dengan kata lain, kritikan tersebut tiada sandaran yang utuh, hanya cakap ikut sedap mulut. Tidak ada wacana, jauh sekali ada kebaikan untuk diri mereka sendiri.
Mengkritik sebuah institusi memang perlu, tetapi biarlah adil, adil kepada sejarah dan adil kepada diri sendiri. – 1 Julai, 2024.
* Mahdzir Ibrahim individu dalam labirin politik.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen