Berdepan kenaikan kos, pencinta haiwan minta subsidi, pelepasan cukai


Ravin Palanisamy

Penjaga haiwan terutama di pusat perlindungan kebanyakannya bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk memastikan kelangsungan haiwan terbiar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Jun, 2024.

KENAIKAN kos harga barang dan inflasi turut menjejaskan pemilik haiwan peliharaan, aktivis haiwan dan pengendali pusat perlindungan haiwan yang kini berdepan kesukaran untuk terus memelihara haiwan ini apabila kuasa beli mereka terhad.

Mereka memohon kerajaan bantuan kerajaan dengan memperuntukkan beberapa insentif bagi meringankan beban mereka menjaga haiwan peliharaan serta haiwan terbiar.

Mereka berkata kerajaan perlu memegang “nilai hormat dan belas ihsan” seperti ditekankan dalam konsep Madani, walaupun untuk haiwan.

Yayasan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) berkata kos untuk penjagaan haiwan peliharaan semakin membebankan pemilik haiwan, apatah lagi untuk aktivis haiwan.

Presiden SAFM Kalaivanan Ravichandran berkata perbelanjaan untuk haiwan peliharaaan termasuk kos veterinary, semakin besar pada masa kini.

“Haiwan bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi bagi kebanyakan individu, mereka adalah sebahagian daripada keluarga.

“Bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan haiwan ini, pemilik terpaksa berdepan beban kewangan tinggi. Kos veterinar dan ubat, kadang-kala mencecah ribuan ringgit, sangat membebankan.

“Selain pemilik haiwan peliharaan, banyak penjaga haiwan terutama di pusat perlindungan, bekerja keras tanpa mengharap balasan. Mereka bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk memastikan kelangsungan haiwan jagaan mereka.

“Setiap bulan dana diperlukan untuk kos vaksinasi, ubat cacing dan kutu, selain rawatan untuk luka dan penyakit kompleks,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Melihat kepada beban kewangan ini, Kalaivanan berkata sudah sampai masanya untuk kerajaan campur tangan dan mempertimbangkan untuk memberi subsidi atau bantuan kewangan kepada penjaga haiwan.

Beliau berkata ini bukan saja akan meringankan beban kewangan tetapi mengiktiraf peranan penting dimainkan aktivis haiwan dan penjaga dalam memastikan kesejahteraan haiwan.

“Antara yang boleh diberikan perhatian adalah subsidi untuk kos pemandulan haiwan.

“Pemandulan sangat penting untuk mengawal populasi haiwan terbiar dan memberi kesan positif jangka panjang dalam mengurangkan masalah pembuangan haiwan dan mengawal kes masalah berpunca daripada haiwan.

“Inisiatif ini akan membantu haiwan tetapi menyokong matlamat untuk pemuliharaan dan kemampanan sumber alam semulajadi,” katanya.

Kalaivanan berkata dengan memberikan sokongan kepada penjaga atau pusat perlindungan haiwan menerusi subsidi dan geran, kerajaan dapat memastikan tanggungjawab untuk kebajikan haiwan dapat diteruskan secara berkesan.

“Ini adalah langkah penting dalam menyemai masyarakat yang lebih perhatian terhadap haiwan dan keperluannya,” katanya.

Tinjauan di klinik veterinar mendapati kos untuk memandulkan anjing jantan adalah kira-kira RM180-RM300, manakala kos untuk anjing betina RM120 hingga RM180.

Kos juga berbeza bergantung kepada jumlah hari haiwan itu dirawat di klinik dan ubat yang diberikan. – 28 Jun, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen