KERAJAAN tidak sepatutnya menggunakan laporan daripada kumpulan yang berat sebelah untuk menjustifikasikan dasar Bumiputera sahaja di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kata Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek.
Beliau berkata kerajaan bersikap “tidak munasabah dan tidak masuk akal” kerana membuat keputusan berdasarkan kepada laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera.
“Kongres berasaskan kaum tidak boleh dianggap objektif. Kaedah yang digunakan dalam mendapatkan keputusan itu kekurangan inklusiviti kaum, dan jelas dipengaruhi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau berkata kewujudan institusi awam yang eksklusif untuk seseuatu kaum, selepas 67 tahun negara merdeka, adalah memalukan.
Katanya, melarang bukan Bumiputera daripada mendaftar di UiTM adalah tidak berperlembagaan.
“Perlu dijelaskan dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan tidak tertulis kebenaran penubuhan universiti eksklusif untuk sesuatu kaum di Malaysia.
“Artikel 153 hanya membenarkan bahagian munasabah untuk keistimewaan pendidikan diberikan kepada Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat berkenaan UiTM kekal tidak dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera kerana perlunya merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum di Malaysia.
“Laporan 2024 daripada Kongres Ekonomi Bumiputera oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan jurang ekonomi masih ada dalam kalangan Bumiputera daripada segi pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja berkemahiran dan kelayakan profesional.
“Oleh itu mengekalkan dasar UiTM untuk orang Melayu, Orang Asli dan rakyat Sabah dan Sarawak masih diperlukan dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan dalam merapatkan jurang antara kaum,” Zambry. – 27 Jun, 2024.
Komen