Badan Peguam gagal cabar status DNAA kes Zahid


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman, mencabar keputusan peguam negara memberhentikan prosiding kes rasuah TPM Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2024.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman, mencabar keputusan peguam negara memberhentikan prosiding kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi, membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Amarjeet Singh dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.

Melalui permohonan pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan peguam negara dan Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan peguam negara yang memohon supaya timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September, 2023 dibatalkan.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan keputusan peguam negara itu batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Badan itu turut memohon perisytiharan keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.

Sehubungan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan peguam negara bertindak mengikut undang-undang, dan jika menganggap sesuai dan wajar, untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Zahid.

Pada prosiding hari ini, peguam Steven Thiru bertindak bagi pihak Badan Peguam dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili peguam negara, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik pula mewakili Zahid.

Amarjeet turut mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 sebagai kos kepada peguam negara.

Pada 4 September tahun lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid. – 27 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen