Jualan saham MAHB dedah maklumat pertahanan negara


PADA 25 Jun 2024 semasa sesi soal jawab di Parlimen, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) sebanyak 30% akan dijual kepada Syarikat BlackRock/ GIP, sebuah syarikat pelaburan berpengkalan di Amerika Syarikat.

Syarikat BlackRock merupakan syarikat yang terlibat dalam industri pertahanan dalam bidang pembinaan peralatan perang dan senjata seperti pesawat tempur, dron, bom, peluru, peluru berpandu, misil serta alat ganti jet pejuang tentera udara.

BlackRock juga merupakan syarikat yang pro-Israel dan membekal senjata, peluru dan bom yang sedang ganas membunuh berpuluh ribu rakyat Palestin.

Perdana menteri juga berkata bahawa penjualan 30% saham MAHB di atas pertimbangan perdagangan yang menguntungkan negara dan tiada sebarang niat lain.

Perdana menteri amat ghairah untuk memelihara hubungan baik dengan Amerika dan rakan sekutunya serta mendapat keuntungan yang besar di dalam perdagangan dua hala tetapi amat tidak Peka dan Prihatin tentang isu keselamatan negara.

Perdana menteri sedar atau tidak dari 32 buah lapangan terbang di dalam negara terdapat lapan buah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menempatkan jet pejuang, helikopter, pesawat pengangkutan dan hangar di dalam kawasan lapangan terbang yang diurus oleh MAHB.

Pengkalan tentera ini masing-masing terletak di Kepala Batas, Butterworth, Ipoh, Subang, Kuantan, Gong Kedak, Labuan dan Kuching.

Jualan saham MAHB bakal mendedahkan maklumat pertahanan negara terutama tentang keupayaan, kekuatan, daya tempur serta sistem radar TUDM kepada musuh.

Amat malang dan sedih tiada seorang pun panglima samada panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara mahupun ketua pengarah perisikan Angkatan Tentera yang berani menegur atau menasihati perdana menteri dan kerajaan untuk memberhenti tindakan menjual aset strategik negara yang akan membawa malapetaka kepada negara.

Kami veteran yang pernah bertempur semasa Darurat serta Konfrontasi membantah dengan sekeras kerasnya tindakan Kerajaan yang mahu menjual saham MAHB kepada BlackRock. – 27 Jun, 2024

* Mejar Anuar Abdul Hamid (B) timbalan presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen