.jpg)
KAMI rakyat Malaysia yang penuh semangat dan cinta akan negara ingin menyampaikan pandangan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan sokongan kami kepada para atlet negara yang bakal berentap di Sukan Olimpik 2024.
Kami memahami bahawa reaksi awal terhadap rekaan jersi baru mungkin mengejutkan ramai pihak tetapi kami percaya bahawa fokus utama kita sekarang haruslah kepada persiapan dan prestasi atlet kita.
Kami juga terkejut melihat rekaan jersi yang baru ini. Jujur cakap, ramai yang tertanya-tanya, “Ini jersi negara mana sebenarnya?” Kami rasa kehilangan elemen penting seperti belang harimau amat ketara. Elemen ini adalah simbol kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia.
Kami ingin mengingatkan MOM bahawa rekaan jersi juga melibatkan soal imej negara yang akan dipertonjolkan di persada dunia.
Adalah penting untuk memastikan bahawa jersi yang diperkenalkan mencerminkan identiti, semangat, dan kebanggaan Malaysia.
Kami berharap agar perkara ini diambil serius dalam perancangan masa hadapan untuk memastikan jersi negara kita tidak hanya berfungsi dengan baik tetapi juga mencerminkan imej negara dengan sewajarnya.
Namun begitu, kami sedar bahawa yang lebih penting, jersi atlet harus berfungsi dengan baik untuk menyokong prestasi mereka.
Walaupun rekaan mungkin tidak memenuhi jangkaan semua, kami berharap ia tetap memberi keselesaan dan membantu atlet kita berasa selesa di Olimpik nanti.
Sebagai rakyat yang menyokong sepenuhnya para atlet kita, kami ingin mengingatkan semua pihak agar terus berikan sokongan dan dokongan 100% kepada wira-wira tanah air kita. Biarlah mereka fokus sepenuhnya kepada persiapan dan pertandingan yang bakal dihadapi.
Kami berharap semua rakyat Malaysia memahami betapa pentingnya untuk memberi sokongan penuh kepada atlet kita. Paling utama adalah semangat juang dan persiapan mereka.
Kita perlu memastikan mereka dapat bertanding dengan penuh keyakinan tanpa tekanan tambahan.
Kami berharap MOM dan atlet kita akan terus fokus pada persiapan untuk Sukan Olimpik 2024.
Sukan ini milik kita semua, dan kami mahu melihat atlet kita bertanding dengan penuh kebanggaan dan semangat Malaysia. – 27 Jun, 2024
* Ammar Atan naib ketua Pemuda Amanah Nasional
Komen