MB Selangor turut kritik keputusan MFL


Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan inisiatif mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL terhadap Selangor FC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2024.

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari hari ini turut mengkritik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL berhubung Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

Dalam satu kenyataan Amirudin menyuarakan sentimen yang disuarakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan mengatakan keputusan tersebut tidak adil dan menyatakan rasa kecewa kerajaan negeri.

Beliau turut sama marah dan kecewa dengan cara MFL mengendalikan perkara itu.

Awal hari ini Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita terhadap denda yang dikenakan ke atas Selangor FC kerana tidak beraksi dalam perlawanan Charity Shield menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lepas.

“Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta,” titah baginda menerusi Facebook rasmi Royal Selangor Office hari ini.

Selain dikenakan denda, mata perlawanan Selangor FC juga dipotong sebanyak tiga mata manakala perlawanan pasukan itu dengan JDT akan dilangsungkan di stadium yang kosong.

Selangor FC juga dikehendaki membayar pampasan kepada JDT atas kekalahan yang dialami sebagai tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL bagi kekalahan akibat penarikan diri daripada perlawanan pada 10 Mei.

“Sebagai badan yang mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta berempati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak yang diperlakukan dengan kejam.

“Amirudin juga menganggap pihak yang melakukan jenayah berkenaan sebagai “pengecut.”,” tegas Amirudin.

Beliau turut mengumumkan inisiatif mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan oleh MFL terhadap Selangor FC.

Amirudin berkata beliau membincangkan perkara itu dengan Exco sukan Selangor dan kerajaan negeri bersetuju untuk melancarkan usaha bersama.

“Ini akan memberi peluang kepada semua pihak termasuk peminat Merah Kuning untuk mengumpul dana untuk membayar denda oleh MFL,” katanya.

Butiran lanjut mengenai usaha pengumpulan dana akan dikongsi tidak lama lagi, katanya.

Amirudin juga menyatakan beliau dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor akan menyumbang kepada usaha mengumpul dana. – 26 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen