Syed Husin Ali kritikal, kata laporan


Bekas ahli akademik dan ahli politik Dr Syed Husin Ali dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke Hospital Selayang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2024.

BEKAS ahli akademik dan ahli politik Dr Syed Husin Ali dilaporkan dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke Hospital Selayang.

Menurut Free Malaysia Today, Syed Husin kini tidak sedarkan diri di hospital.

Berita itu disampaikan anaknya Ali Syed Hussein ke portal berita berkenaan.

“Beliau boleh dikatakan tidak sedar keadaan sekeliling dan berada dalam keadaan kritikal.

“Kita doakan yang terbaik,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Syed Husin yang berusia 87 tahun itu juga merupakan tahanan politik terkemuka ditahan selama enam tahun tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dari 1974 hingga 1980.

Beliau merupakan seorang profesor madya di Universiti Malaya ketika itu dan menyokong bantahan oleh petani di Baling, Kedah dan pelajar di Kuala Lumpur.

Syed Husin dilantik sebagai timbalan presiden PKR dari 2003 hingga 2010 berikutan penggabungan Parti Keadilan Nasional dan sayap kirinya Parti Rakyat Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat dua penggal sebagai senator dari 2009 hingga 2015.

Buku beliau ‘Dua Wajah: Penahanan Tanpa Perbicaraan’ adalah memoir zaman beliau di bawah tahanan ISA.

Beliau juga menulis Syed Husin Ali: Memoirs of a Political Struggle dan senarai buku lain mengenai perjuangan politik dan hubungan etnik Malaysia.

Buku terbaru beliau adalah pada tahun 2019 bertajuk ‘Sejarah Rakyat Malaysia’. – 26 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen