PERDANA Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan hipokrasi pembangkang yang mempersoalkan pelaburan BlackRock dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).
Walhal, pemimpin Perikatan Nasional sendiri bertanggungjawab membenarkan firma dikaitkan dengan Israel itu untuk menguruskan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), katanya.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat demikian ketika mempertahankan pelaburan Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikaitkan dengan Israel dalam MAHB.
Anwar menyebut nama ahli parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri kelapan pada 2021 yang bertanggungjawab membenarkan BlackRock menguruskan dana KWSP.
“Apa keputusan dia – menyerahkan akaun terurus berasingan (KWSP) bersama ekuiti persendirian patuh syariah pertama yang terbesar di dunia yang diberikan kepada BlackRock.
“Tahniahlah. Jumlahnya AS$600 juta bersamaan RM2.5 bilion,” sindir Anwar.
Katanya, beliau juga melihat pemimpin Perikatan kini dengan mudah mengubah hukum dalam menilai pelaburan seperti institusi melibatkan BlackRock mengikut musim.
“Kenapa tidak fikir sewaktu (luluskan pelaburan BlackRock) tahun 2021?” soalnya kembali ketika diasak pembangkang di Dewan Rakyat.
Beliau berkata wakil pembangkang kini lupa kerana menyerang kerajaan dengan isu BlackRock sedangkan perkara sama dilakukan pada 2021.
“Tapi kita diserang sekarang. Termasuk oleh rakan-rakan sebelah sana.
“Dia lupa bahawa keputusan penting memberi peranan BlackRock itu 26 Februari tahun 2021 tatkala Pagoh menjadi perdana menteri dan ramai menteri yang pada masa itu di sebelah sana.”
Anwar juga berkata, beliau tetap mempertahankan keputusan Pagoh pada 2021 walaupun keputusan melibatkan BlackRock dikritik pemimpin Perikatan yang kini di kerusi pembangkang.
Jelasnya lagi, kes melibatkan pelaburan dalam MAHB juga berbeza kerana tidak melibatkan rundingan terus seperti yang berlaku pada 2021.
“Saya pertahankan keputusan itu. Saya tidak jadikannya isu politik,” tambahnya.
“Mungkin BlackRock pada masa itu melaporkan kepada Pagoh dan jemaah menteri pada masa itu bahawa ini hanya syarikat pelaburan.
“Adakah pada masa itu BlackRock tidak ada sentimen (pro-Israel)? Sudah. Tetapi dalam kes MAHB tidak pernah ada rundingan, tidak seperti 2021.”
Katanya lagi, kerajaan juga membenarkan pelaburan GIP dalam MAHB disebabkan keperluan mendesak untuk mendapatkan suntikan dana yang besar untuk memajukan lapangan terbang negara.
Ditanya sama ada terdapat institusi lain yang boleh menyumbang pelaburan sama bagi menggantikan GIP, beliau berkata tuntutan pihak tersebut tidak dapat dipenuhi.
Katanya, pelabur institusi berkenaan antara lain menuntut untuk menguasai kedudukan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif dan juga pelaburan lebih besar dari yang dihadkan dalam MAHB.
“Sukar mana-mana syarikat asing hendak kerjasama kalau tidak kuasai majoriti atau urus atau jadi pengerusi atau CEO.”
Bagaimanapun jumlah saham awam tidak boleh ditambah manakala jawatan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif perlu diisi rakyat Malaysia untuk menjaga kepentingan negara, katanya.
Tambahnya, KWSP dan juga Khazanah yang menguasai majoriti saham dalam MAHB tidak dapat membuat pelaburan lebih besar kerana akan menjejaskan pelaburan dalam sektor lain.
Anwar juga mengakui, BlackRock kini menguasai kepentingan dalam pasaran Bursa berjumlah RM20.5 bilion termasuk dalam syarikat tenaga dan telekomunikasi serta bon kerajaan dan korporat.
Soalan mengenai peranan BlackRock antara lain dibangkitkan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang).
Selain pembangkang, pemilikan saham GIP dalam MAHB juga dibantah oleh gerakan anti-Israel antarabangsa Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) cawangan Malaysia.
Gabungan ini menekan kerajaan supaya menghalang setiap badan yang menyumbang kepada tindakan genosid Isreal ke atas masyarakat Palestin. – 25 Jun, 2024.
Komen