Calon PRK Sungai Bakap kempen dari pintu ke pintu


Kemenangan PAS di Sungai Bakap menerusi calon PN Abidin Ismail penting untuk menunjukkan gelombang hijau masih wujud. – Gambar Facebook, 24 Jun, 2024.

CALON Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Nibong Tebal memilih untuk berkempen dari pintu ke pintu untuk bertemu dan berkenalan dengan pengundi di kawasan itu.

Ketika pemimpin peringkat persekutuan kembali ke ibu kota untuk persidangan Dewan Rakyat minggu depan, kempen dijalankan pemimpin negeri dan tempatan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dilihat di Sungai Duri, kawasan kubu kuat PAS bersempadan Kulim, di mana calon PH sebelum ini Nurhidayah Che Ros tewas.

Calon PAS Abidin Ismail belum kelihatan di kawasan itu.

Setiausaha PAS Pulau Pinang Iszuree Ismail berkata Abidin dikenali ramai di kawasan itu, memandangkan beliau adalah pegawai khas kepada penyandang, allahyarham Nor Zamri Latiff.

Abidin dilaporkan membuat penjelasan terbuka mengenai kesahihan sijil ISO yang dimilikinya.

Beliau tidak menafikan ada sedikit kesilapan berhubung perkara itu ketika latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin PAS ketika majlis pengumuman calon pada 15 Jun lalu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata calon PN itu adalah eksekutif logistic dengan sijil ISO 14001 untuk Sistem Pengurusan Alam Sekitar. ISO adalah akreditasi untuk syarikat, bukan individu.

PH menyebut tentang kesilapan itu dan membandingkan kelayakan pendidikan Joohari, yang juga mempunyai PhD dari Universiti Sains Malaysia sementara Abidin hanya ada sijil sekolah menengah.

Menteri Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor menekankan relevan politik lebih penting berbanding pencapaian akademik.

Pakar politik USM Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata kemenangan PAS di Sungai Bakap penting untuk menunjukkan gelombang hijau masih wujud. Ia adalah kerusi Melayu, di mana hampir 60% penduduknya Melayu.

PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari Ariffin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi berdaftar.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos, Nor Zamri  menewaskan calon PH Nurhidayah dengan majoriti 1,563 undi.

Sungai Bakap adalah PRK kelapan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.

Tempoh kempen hingga tengah malam 5 Julai.

SPR menetapkan hari mengundi pada 6 Julai sementara mengundi awal pada 2 Julai. β€“ 24 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen