AHLI Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bakal digantung keahlian sehingga enam bulan sekiranya didapati mengelirukan Dewan Rakyat melalui ucapannya pada Februari dan Mac lalu.
Aturan Urusan Mesyuarat bagi sidang yang akan bermula hari ini menyebut, usul untuk merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa itu akan dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Usul tersebut antara lain merujuk ucapan Wan Saiful di Dewan Rakyat pada 21 Mac yang melibatkan tuduhan ke atas seorang lagi ahli parlimen, Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Dalam ucapan itu, Wan Saiful menuduh Zulkafperi menjadi ejen dan menyogok ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk menyokong kerajaan.
Zulkafperi sudahpun memfailkan usul untuk merujuk Wan Saiful ke jawatankuasa hak dan kebebasan sehari kemudian.
Usul yang dijadualkan pada hari ini turut merujuk ucapan Wan Saiful di Dewan Rakyat pada 28 Februari yang mendakwa diugut untuk menyokong perdana menteri dan juga ditawarkan habuan.
Wan Saiful juga dalam ucapan di Dewan Rakyat antara lain membangkitkan beliau dituduh di mahkamah selepas menang kerusi Tasek Gelugor.
Usul yang bakal dikemukakan menteri mendakwa ucapan berkenaan yang mendakwa pertuduhan kes mahkamah ke atas dirinya boleh dibatal dan digugurkan.
Kenyataan itu didakwa mengelirukan dewan dan merosakkan kepentingan mahkamah yang sedang mempertimbangkan tuduhan ke atasnya, menurut usul itu.
“Dewan yang mulia ini memandang serius kenyataan beliau secara tersirat mendakwa ada individu konon bertindak bagi kerajaan dan boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugurkan pertuduhan kes mahkamah.
“Perbuatan ini menunjukkan Wan Saiful menyebut perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak bagi kes tersebut.”
Wan Saiful kini berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan dana Jana Wibawa yang berkait projek membina jalan Central Spine Road berjumlah RM6.9 juta. – 24 Jun, 2024.
Komen