INSTITUT MEMANDU (IM) bakal berdepan pembatalan serta-merta lesen operasi mereka jika terlibat dalam sindiket lesen memandu ‘kopi O’ haram, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini.
Beliau berkata, kegiatan rasuah semasa ujian memandu perlu dihentikan kerana tindakan sedemikian membahayakan nyawa pengguna jalan raya khususnya golongan belia.
“Sekolah memandu tidak boleh terlibat dalam rasuah. Jika isu ini tidak dibendung, golongan muda akan menjadi mangsa. Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan nyawa.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran ‘lesen terbang’ yang diiklankan di media sosial,” katanya pada satu majlis di Seremban hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata sistem ujian pemanduan elektronik (eTesting) adalah langkah proaktif, dipacu integriti yang diperkenalkan untuk memerangi rasuah dalam industri.
Beliau menyeru institut pemanduan untuk membiasakan diri dengan sistem itu sebelum pelaksanaan mandatorinya pada 2030.
“Kementerian komited untuk melaksanakan eTesting bagi memastikan sistem yang lebih berintegriti.
“Isu lesen memandu haram sudah lama kita maklum, tetapi saya lihat perkembangan positif. Walaupun tidak dinafikan masih ada sindiket yang cuba mengeksploitasi sistem tersebut, kita akan teruskan usaha membanteras rasuah,” katanya.
Loke berkata, kementerian telah menerima beberapa permohonan daripada institut pemanduan untuk pelaksanaan eTesting sejak ia diperkenalkan April lalu.
Tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memproses permohonan ini, dan kumpulan pertama akan menerima surat kelulusan mereka tidak lama lagi. – 23 Jun 2024.
Komen