Memang ada perbincangan PAS dan kerajaan perpaduan, kata Menteri


MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil tidak menafikan dan tidak juga mengesahkan khabar angin berkenaan musuh ketatnya dalam politik, PAS akan menyertai kerajaan perpaduan.

Beliau berkata ada banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang terutama dalam kalangan pemimpin negeri.

Fahmi bagaimanapun tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan PAS ada membincangkan tentang perkara itu.

“Perbincangan, memang banyak berbincang. Kita lihat bagaimana perbincangan antara menteri besar daripada PAS, contohnya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, (serta) perbincangan di kalangan ahli Parlimen dengan perdana menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Sungai Bakap, hari ini.

PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari Ariffin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi berdaftar.

Seramai 522 pekerja pilihan raya akan mengendalikan proses PRK itu sementara lebih 600 pegawai polis akan bertugas.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos, Nor Zamri daripada PAS menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Sungai Bakap adalah PRK kelapan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.

Tempoh kempen bermula hari ini hingga tengah malam 5 Julai.

SPR menetapkan hari mengundi pada 6 Julai sementara mengundi awal pada 2 Julai. – 22 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen