SPR pastikan calon PRK Sungai Bakap patuh peraturan kempen


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya untuk memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kata Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom.

Beliau berkata semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi calon tidak mencetuskan rasa tidak senang, ganas atau membabitkan sensitiviti kaum dan agama, termasuk berkaitan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) serta tidak melanggar Akta Pilihan Raya 1954 dan undang-undang lain yang berkaitan.

“SPR berharap tempoh kempen berlangsung dalam suasana harmoni dan mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Tidak ada sekatan berkenaan gambar logo parti politik atau pemimpin daripada parti komponen atau sekutu untuk dicetak pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari Ariffin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Sungai Bakap mempunyai 39,279 pengundi berdaftar.

Seramai 522 pekerja pilihan raya akan mengendalikan proses PRK itu sementara lebih 600 pegawai polis akan bertugas.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada Ogos, Nor Zamri daripada PAS menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Sungai Bakap adalah PRK kelapan diadakan selepas pilihan raya umum 2022.

Tempoh kempen bermula hari ini hingga tengah malam 5 Julai.

SPR menetapkan hari mengundi pada 6 Julai sementara mengundi awal pada 2 Julai. - 22 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen