Proses penamaan calon PRK Sungai Bakap bermula


Perikatan Nasional meletakkan Naib Pengerusi PAS Kawasan Nibong Tebal Abidin Ismail untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri lalu. – Gambar Perikatan Nasional, 22 Jun 2024.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bermula hari ini dengan penamaan calon diadakan di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding kira-kira jam 11 pagi.

SPR menetapkan 6 Julai sebagai hari pengundian bagi PRK itu dengan pengundian awal pada 2 Julai. Tempoh kempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Perikatan Nasional (PN), gabungan penyandangnya meletakkan Naib Pengerusi PAS Kawasan Nibong Tebal Abidin Ismail untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya negeri lalu.

Abidin adalah bekas pembantu kepada bekas Adun Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia secara mengejut selepas diserang gastrik bulan lepas.

Pencabarnya ialah bekas ahli akademik Dr Joohari Ariffin, 60, seorang guru yang merupakan pemimpin yang aktif dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sungai Bakap dianggap sebagai kubu kuat PAS kerana kawasan itu bersempadan dengan Kedah di mana parti Islam itu paling dominan di utara.

Daftar pemilih Sungai Bakap mengandungi 39,279 pengundi, terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 pegawai polis.

Seramai 522 petugas pilihan raya dilantik untuk menguruskan proses pilihan raya kecil manakala lebih 600 pegawai polis akan ditempatkan bagi memastikan keselamatan terkawal.

Pada pilihan raya negeri Pulau Pinang Ogos lalu, Allahyarham Nor Zamri yang juga Ketua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK Sungai Bakap adalah yang kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022. – 22 Jun 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen