Pesawat MAS MH199 mendarat cemas kerana masalah enjin


Penerbangan Malaysia Airlines MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur alami masalah enjin selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi awal hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2024.

MALAYSIA Airlines mengesahkan penerbangan MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur mengalami masalah enjin selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi awal hari ini.

Dalam satu kenyataan, Malaysia Airlines berkata pesawat itu berpatah balik akibat masalah pada salah satu enjin ketika mendaki selepas berlepas.

“Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada jam 3.21 pagi waktu tempatan dan semua kru dan penumpang keluar dengan selamat.

“Semua penumpang dipindahkan ke penerbangan lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Keselamatan tetap menjadi keutamaan Malaysia Airlines,” katanya.

Terdahulu dilaporkan penerbangan MH199 terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Hyderabad selepas satu daripada enjinnya mengalami percikan api.

Times of India melaporkan pesawat itu yang membawa 138 penumpang berlepas pada 12.45 pagi tadi tetapi terpaksa berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas.

Tular video memaparkan pesawat itu dengan enjin terbakar di media sosial hari ini. – 20 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen