PERLOMBONGAN berskala besar logam berharga dan mineral bernilai RM1.25 trilion akan memusnahkan ekosistem Sarawak kerana aktiviti itu akan menyebabkan alam sekitar tidak akan dapat dipulihkan, kata Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Penyelaras SAM untuk Sarawak Jok Jau Evong berkata aktiviti perlombongan berskala besar untuk keuntungan komersial memusnahkan ekosistem, tanpa mengira betapa maju kepakaran yang digunakan bagi tujuan itu.
Beliau berkata Sarawak sedang mengalami kerosakan alam sekitar yang serius dan ia dapat dilihat menerusi kekerapan banjir kilat, pencemaran sungai, suhu meningkat, kelodak di lembangan sungai dan hakisan tanah, ditambah lagi dengan hutan ditarah untuk perladangan dan pembalakan.
“Pemimpin kerajaan negeri mungkin teruja melihat angka RM1.25 trilion yang akan diperolehi daripada perlombongan itu, tetapi kami yang bimbang tentang alam sekitar dan kehidupan masyarakat akar umbi, melihat pengumuman ini dengan penuh rasa bimbang.
“Pengalaman di Sarawak menunjukkan tanah yang dieksploitasi dengan pembalakan dan perladangan berlebihan menyebabkan kesan terhadap ekosistem hutan.
“Pembinaan lima empangan mega di Sarawak juga menyebabkan kesan negatif kekal kepada kesihatan hutan dan sungai,” katanya.
Jik berkata bulan lalu saja kerajaan negeri mengumumkan rancangan untuk menjadikan 10 kawasan lembangan sungai untuk empangan.
“Berita ini sangat membimbangkan kerana ia membabitkan kebajikan alam sekitar dan penduduk hutan,” katanya.
Jok, yang juga penduduk asal daerah pedalaman Baram di utara Sarawak, berkata pemimpin Gabungan Parti Sarawak tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan keinginan mereka mendapatkan keuntungan komersial hingga sanggup mengorbankan ekosistem.
Pada 18 Jun, diumumkan kerajaan negeri Sarawak merancang untuk melakukan perlombongan besar-besaran selepas menemui hasil mineral berharga seperti emas dan bauksit bernilai kira-kira RM1.25 trilion. – 20 Jun, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen