Kumpulan perniagaan bukan Bumiputera desak diberi peluang dilantik syarikat AP


K. Kabilan

Awal minggu ini, Miti umum ia melonggarkan syarat AP untuk industri automotif bagi membolehkan lebih banyak penyertaan syarikat Bumiputera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Jun, 2024.

KERAJAAN digesa membenarkan syarikat bukan Bumiputera dilantik sebagai syarikat approved permits (AP) terbuka untuk terbabit dalam aktiviti pengimportan dan jualan kenderaan di Malaysia.

Kerajaan melonggarkan syarat pelesenan AP berkuatkuasa 1 Julai bagi menggalakkan lebih banyak syarikat Bumiputera turut serta sebagai syarikat AP Terbuka, termasuk mereka yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif.

AP terbuka adalah permit import diberikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) kepada syarikat Bumiptera berkelayakan untuk mengimport dan menjual kenderaan dalam pasaran domestik.

Pada masa ini ia ditetapkan hanya untuk vendor berlesen.

Persatuan Perniagaan India Johor (Jiba) berkata peluang itu perlu diberi kepada semua syarikat dan bukan setakat untuk syarikat Bumiputera.

Presiden Jiba P Sivakumar berkata ada banyak syarikat bukan Bumiputera yang layak, termasuk syarikat milik kaum India yang boleh terbabit dalam sektor itu.

“Kerajaan perlu adil dengan membuka sektor itu kepada syarikat bukan Bumiputera,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bercakap khusus tentang perniagaan kaum India, Sivakumar berkata masyarakat India sudah menunjukkan sokongan kuat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk beberapa pilihan raya terakhir ini.

“Bukan saja masyarakat India, tetapi masyarakat perniagaan India berdiri teguh dengan PH, dan mereka juga penyokong kuat kerajaan perpaduan.

“Kami harap ada agihan kekayaan yang adil dalam kalangan semua kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan dan Miti sepatutnya mempunyai dasar adil yang inklusif.

“Saya merayu kepada Miti untuk memasukkan kaum lain dalam pelannya untuk industri automotif,” katanya.

Awal minggu ini, Miti mengumumkan ia melonggarkan syarat AP untuk industri automotif bagi membolehkan lebih banyak penyertaan syarikat Bumiputera.

Miti berkata langkah itu selaras dengan usaha kementerian untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP terbuka.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat Bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif. Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata Miti dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata syarikat Bumiputera yang berminat adalah tertakluk kepada syarat utama iaitu berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100% Bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

Objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi Bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif, kata Miti.

Katanya, dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 berjaya melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju, bukan saja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik. – 20 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen