KERAJAAN akan terus menangani masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan kesan buruk ke atas kehidupan harian rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
“Kerajaan masih perlu menanggung kira-kira RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan mengapungkan harga diesel pada 10 Jun di semenanjung tetapi melaksanakan bantuan bersasar untuk sektor dan individu yang layak menerusi bantuan tunai Budi Madani.
Susulan penarikan subsidi diesel itu, beberapa sektor memberi isyarat mereka terpaksa menaikkan kos pengangkutan, yang akhirnya memberi kesan kepada harga barangan asas.
Dalam kenyataannya, Anwar berkata tujuan utama rasionalisasi subsidi diesel adalah untuk memastikan tidak ada pembaziran dan penjimatan itu boleh disalurkan balik kepada rakyat.
“Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sektor lain yang memberi kesan besar kepada rakyat,” katanya.
Anwar berkata kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap aktiviti penyeludupan diesel yang menjejaskan negara dan rakyatnya.
Katanya, sehingga 31 Disember, 2023 sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14.208 juta dirampas di bawah Ops Tiris yang bermula sejak 1 Mac, 2023.
Katanya, Ops Tiris 3.0 dilaksanakan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).
Katanya, setakat 14 Jun lalu, sejumlah RM12.956 juta nilai barang kawalan dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng.
“Kerajaan akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) meski harga minyak sawit mentah (MSM) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890/metrik tan.
Beliau turut mengumumkan harga runcit telur akan diturunkan bermula hari ini. – 17 Jun, 2024.
Komen