Polis tahan dalang sindiket curi duit dari akaun RM24.2 juta


POLIS menahan seorang lelaki disyaki dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.

Lelaki berusia 40-an itu ditahan di Sabah semalam, susulan penahanan seorang wanita yang juga kakitangan sebuah bank di Kota Kinabalu pada 13 Jun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata lelaki terbabit dipercayai terbabit secara langsung dengan kes itu.

“Setakat ini kita menahan dua individu dan kita percaya lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang dari akaun simpanan,” katanya dipetik daripada Bernama.

Ramli dilaporkan berkata siasatan awal mendapati terdapat pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan kerana hanya boleh dilakukan dengan bantuan dalaman bank.

Katanya, polis menerima empat laporan berkaitan kehilangan wang dari akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor, awal bulan ini.

Pengadu terdiri daripada pemilik akaun memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan. – 17 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen