Adakah hanya pembangkang peduli tentang etika pilihan raya?


Mustafa K. Anuar

BN juga pernah menggunakan sumber negeri sebagai cara memikat pengundi sebelum pilihan raya, di mana kerajaan perpaduan diterajui PH sekarang turut melakukan yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2024.

PRESIDEN Gerakan Dominic Lau meluahkan rasa marahnya kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang baru-baru ini mengumumkan pembiayaan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberai Perai selatan, Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Lau berkata pembiayaan itu yang diperuntukkan di bawah program Sentuhan Kasih, boleh diterjemahkan sebagai cubaan mempengaruhi pengundi menjelang hari mengundi 6 Julai depan.

Kerusi Sungai Bakap kosong susulang kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei, dan dijangka dipertandingkan secara sengit antara calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ini bukan kali pertama Nga dikecam orang ramai kerana mengumumkan peruntukan sebelum PRK.

Nga turut mengumumkan peruntukan RM5.21 juta untuk penduduk Hulu Selangor sebelum PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, di mana ia dianggap tidak beretika.

Tetapi Lau sepatutnya tidak terkejut dengan perbuatan eksploitasi kesempatan dilakukan kerajaan pemerintah.

Barisan Nasional (BN) contohnya, juga pernah menggunakan sumber negeri sebagai cara memikat pengundi sebelum pilihan raya ketika parti Lau masih sebahagian daripada gabungan kerajaan.

Sebagai contoh adalah sebelum PRK Sibu pada 16 Mei, 2010, perdana menteri pada masa itu Najib Razak menyerahkan cek RM10 juta kepada 60 sekolah rendah Cina di bawah Persatuan Sekolah Bantuan Rendah Cina (UACPAS) dan RM5 juta kepada lima sekolah swasta Cina di bawah Persatuan Sekolah Menengah Cina Bersatu (UACSS).

Najib juga menyerahkan cek RM1 juta kepada SK St Mary dan RM2 juta kepada SMK Sacred Heart, kedua-duanya sekolah mubaligh.

Beliau dilaporkan memberi jaminan BN adalah satu-satunya “kawan sebenar” yang boleh menjadi tempat sandaran kepada para pendidik Cina.

Ia adalah sejenis bantuan kerajaan yang Najib sifatkan sebagai “Saya tolong awak, awak tolong saya”.

Lau turut bengang apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi RM290,000 sumbangan kepada sembilan masjid dan 20 surau di Sungai Bakap sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Apa yang ingin dikatakan di sini adalah seseorang itu tidak sepatutnya cuba untuk meletakkan moral di tempat yang tinggi hanya apabila mereka tidak lagi memegang kuasa politik.

PH turut mengkritik salah guna sumber negara ketika ia belum menjadi kerajaan pemerintah, sentimen itu dikongsi bersama rakan sekutunya dalam gerakan Reformasi.

Sepatutnya, pilihan raya yang adil dan bebas menjadi prinsip yang dipersetujui semua pihak, tidak kiralah sama ada anda di tempat pembangkang atau pemerintah. – 17 Jun, 2024.

Berita penuh di sini.

* Mustafa seorang wartawan kanan dengan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen