Abidin Ismail dipilih calon Perikatan untuk PRK Sungai Bakap


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bersama calon pilihan PN untuk PRK Sungai Bakap Abidin Ismail di Bandar Tasek Mutiara malam tadi. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2024.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mencalonkan Abidin Ismail daripada PAS untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang akan diadakan pada 6 Julai.

Mengumumkan pilihan itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Abidin yang juga ahli perniagaan adalah pilihan tepat kerana beliau adalah pegawai khas kepada Adun Sungai Bakap sebelum ini Nor Zamri Latiff, yang meninggal dunia bulan lalu.

Tuan Ibrahim berkata Abidin, 56, adalah anak tempatan yang dilahirkan di Kampung Sungai Duri dan mendapatkan pendidikan awal serta menjadi pengundi DUN Sungai Bakap serta Parlimen Nibong Tebal.

“Kami yakin beliau boleh menjalankan tugas dengan baik jika terpilih. Kami berharap pengundi Sungai Bakap akan terus memilih calon kami,” katanya pada Majlis Pengisytiharan Calon PRK N20 Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara malam tadi.

Abidin akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang juga seorang guru pada PRK itu.

Penamaan calon akan diadakan pada 22 Jun.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata tarikh pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga yang dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – 16 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen