Penyerang lepaskan tembakan ke arah kami, kata polis Ulu Tiram


Susulan insiden tembakan di balai polis Ulu Tiram, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Sosma. – Gambar fail Facebook, 16 Jun, 2024.

SEMANGAT juang dalam menjaga keselamatan sebagai anggota polis menyebabkan Mohd Hasif Roslan tetap berusaha menghentikan insiden tembakan di balai polis Ulu Tiram, walaupun dirinya cedera selepas ditembak di pinggul dan bahu, lapor bernama.

Bertugas di Bahagian Ronda Cegah Jenayah, anggota Sang Saka Biru itu sedang bertugas ketika berdepan dengan penjenayah yang sebelum itu menetak rakan setugasnya hingga mati.

Mengenang insiden itu, Hasif, 38, berkata beliau keluar meronda pada 2.30 pagi tetapi pulang segera selepas menerima arahan daripada ketua balai.

“Bila saya sampai di balai, saya nampak mayat di sebelah berek sebelum dimaklumkan itu adalah rakan setugas saya yang terbunuh.

“Rakan beritahu saya balai diserang tetapi suspek tidak kelihatan pada masa itu.

“Tiba-tiba penyerang melepaskan tembakan ke arah kami dan terkena di bahagian bahu dan pinggul saya,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pemakaian pangkat secara medan dan posthumous di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur semalam.

Hasif berkata beliau dan tiga lagi anggota cuba menjejak penyerang itu. Dalam keadaan cedera dan berlumuran darah, beliau melepaskan beberapa tembakan kea rah penyerang sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Apabila sampai di hospital, saya hubungi isteri dan maklumkan keadaan kerana saya tidak mahu dia dan anak risau,” katanya.

Hampir sebulan selepas insiden itu, Hasif masih menerima rawatan secara berkala tetapi beliau tidak hilang semangat untuk terus berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia.

Hasif, yang sudah 14 tahun dalam pasukan, berkata berkhidmat kepada masyarakat walaupun ketika berdepan cabaran adalah perkara lumrah sebagai anggota polis.

 Semalam, beliau antara tiga anggota dari balai polis Ulu Tiram yang menerima kenaikan pangkat secara medan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menerima kenaikan pangkat Sarjan, manakala dua lagi anggota iaitu Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa dan Lans Koperal Muhammad Aznel Salleh masing-masing dinaikkan pangkat Koperal.

Selain itu, dua anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said masing-masing dinaikkan pangkat Koperal secara posthumous.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima ahli keluarga suspek berumur 19 hingga 62 tahun mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). – 16 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen