Saya dapat duit dari gaji, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad menafikan terlibat dalam rasuah dan mendakwa beliau memperoleh wang daripada gaji semasa karier politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Jun 2024.

DR Mahathir Mohamad menafikan terlibat dalam rasuah dan mendakwa beliau memperoleh wang daripada gaji semasa karier politiknya.

“Sebahagian besarnya kini sudah tiada,” kata bekas perdana menteri itu dalam temu bual eksklusif dengan Al Jazeera baru-baru ini.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang membayangkan beliau menggunakan masanya di pejabat untuk memperkayakan dirinya dan keluarganya.

“Saya tidak nampak wang ini dan tidak tahu di mana ia berada.

“Jika saya mengambil wang itu, beritahu mahkamah bagaimana anda (Anwar) membuat kesimpulan bahawa saya telah mengambil wang itu,” kata Dr Mahathir, 98, yang meneruskan saman fitnah RM150 juta terhadap Anwar.

Dalam saman itu Dr Mahathir mendakwa Anwar memfitnahnya dengan menuduhnya sebagai rasis dan memperkayakan dirinya serta ahli keluarganya sepanjang tempoh 22 tahun menjadi perdana menteri.

“Saya sanggup pergi ke Switzerland bersama Anwar untuk mencari bank di mana saya boleh menyimpan wang ini.

“Jika kita dapat mencari bank seperti itu, saya akan mengeluarkan 100% wang itu dan memberikannya kepada orang Melayu,” kata Dr Mahathir yang memimpin Malaysia dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.

Dr Mahathir berkata beliau memperoleh gaji bulanan RM8,000 ketika pertama kali menjadi perdana menteri, meningkat kepada RM20,000 ringgit ketika beliau berundur pada 2020.

Katanya, dia turut dibekalkan faedah termasuk rumah dan kereta yang membantunya menghabiskan sedikit masa di pejabat.

“Mereka membayar bil elektrik, air saya… kerajaan memberi saya pengangkutan, kereta dan pemandu. Saya tidak perlu membayar apa-apa,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga menuduh Anwar menyasarkan dua anak sulungnya, Mirzan dan Mokhzani Mahathir.

Tambahnya beliau tidak mendapat manfaat daripada aktiviti perniagaan anak-anaknya.

“Mereka tidak memberi saya wang daripada perniagaan mereka.

“Mokhzani hanya berjaya dalam perniagaan selepas saya berundur.

“Semasa saya menjadi perdana menteri, beliau tidak terkenal sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

“Dia bekerja dengan syarikat petroleum kerana dia dilatih dalam bidang itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau membelanjakan sebahagian besar wangnya selepas bersara dalam usaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri ketika itu Najib Razak daripada kuasa ketika skandal kewangan 1MDB berbilion dolar berlaku.

Mengenai Najib yang cuba menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah selepas disabitkan bersalah atas peranannya dalam skandal 1MDB, Mahathir berkata bekas perdana menteri itu tidak sepatutnya menerima layanan istimewa.

“Tinggal di rumah bermakna anda bebas. Anda tidak keluar dari rumah anda, tetapi anda bebas.

“Apabila anda mencuri berbilion-bilion dan anda dilayan dengan sangat baik, ia adalah contoh buruk untuk pemimpin masa depan,” tambah Dr Mahathir. – 15 Jun 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen