Kita hanya mahu guru sukarelawan dari Singapura, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cadangan dibangkitkan bersama rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong adalah untuk mengadakan skim bantuan atau melantik guru sukarelawan untuk dihantar ke negara ini. – Gambar Facebook, 14 Jun, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau hanya melihat kepada kemungkinan membawa guru sukarelawan dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di negara ini.

Beliau berkata cadangan yang dibangkitkan bersama rakan sejawatnya Lawrence Wong adalah untuk mengadakan skim bantuan atau melantik sukarelawan untuk dihantar ke sini.

Guru sukarelawan ini untuk dihantar ke kawasan terutama miskin bandar, desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengajar Bahasa Inggeris, katanya.

“Bukannya membawa masuk dan melantik guru Bahasa Inggeris dari Singapura. Sukarelawan ini dibayar oleh pemerintah Singapura.

“Saya mahu membina hubungan lebih baik dengan negara lain. Kita hendak baik dengan Thailand, Singapura, Brunei dan Singapura – jiran kita yang penting,” katanya.

Beliau juga berkata skim sukarelawan itu akan menjadi program yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Singapura.

“Cadangan itu seperti skim bantuan dari segi diplomasi antara negara dan tidak bermakna Malaysia mahu melantik guru bahasa Inggeris dari republik itu,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada Rabu Anwar bertemu dengan Wong semasa lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia.

Antara topik yang dibincangkan ialah kemungkinan menghantar guru Singapura ke Malaysia.

Cadangan ini mendapat kritikan daripada pendidik dan kumpulan ibu bapa yang mengatakan kerajaan harus dipersalahkan atas penurunan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini.

Kesatuan Perguruan Kebangsaan menyokong hasrat kerajaan untuk menangani kekurangan guru bahasa Inggeris.

Bagaimanapun Setiausaha Agungnya Fouzi Singon berkata, penggunaan guru asing tidak boleh menafikan hak graduan tempatan dengan pengkhususan yang sama. – 14 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen