KUALA Lumpur berada dalam kedudukan 30 teratas dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024 yang terkini.
Antara 1 Julai 2021 dan 31 Disember, 2023 ibu kota ini menjana RM220 bilion nilai ekosistem itu, yang mengukur kesan ekonomi nilai peluang keluar dan penilaian syarikat pemula (startup).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pencapaian itu menunjukkan pelaburan Malaysia dalam ekosistem startup memberikan hasil.
“Menyedari perkara ini, saya ingin mengiktiraf peranan dan impak semua agensi, kementerian, dan organisasi yang terlibat melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup yang baru dilancarkan.
“MOSTI akan terus menerajui usaha ini untuk merealisasikan visi kami dalam menjadikan ekosistem startup Malaysia dalam kedudukan 20 terbaik menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) Norman Matthieu Vanhaecke, sebagai agensi fokal bagi ekosistem startup Malaysia berkata pencapaian itu bukti usaha dan inisiatif strategik yang dijalankan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi startup.
“Dengan komitmen yang berterusan dalam membentuk sebuah ekosistem yang berprestasi tinggi, inklusif, global, dan mampan, Cradle akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekosistem startup di peringkat global,” katanya.
Berikut laporan GSER 2024, ekosistem Kuala Lumpur juga tersenarai antara kumpulan terbaik dalam beberapa bidang utama di Asia:
Kedudukan 15 terbaik Ekosistem Asia dalam Pendanaan: Pencapaian ini menggambarkan kapasiti inovasi Kuala Lumpur melalui pendanaan peringkat awal yang kukuh dan penyertaan aktif pelabur.
Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Prestasi: Pencapaian ini mencerminkan saiz dan kejayaan keseluruhan ekosistem, dengan mempertimbangkan nilai kumulatif yang dicipta oleh startup teknologi melalui exit dan pendanaan.
Kedudukan 20 terbaik Ekosistem Asia dalam Bakat dan Pengalaman: Kedudukan ini mengiktiraf trend jangka panjang yang kukuh di Kuala Lumpur, menunjukkan kedalaman bakat dan pengalaman dalam ekosistem.
Kedudukan 25 terbaik Ekosistem Asia dalam akses kepada pemilikan bakat secara kos efektif: Kategori ini mengukur keupayaan Kuala Lumpur dalam menarik bakat teknologi secara kos efektif dan menekankan kelebihan kompetitifnya dalam membina tenaga kerja yang mahir.
Kedudukan 30 terbaik Ekosistem Asia dalam kategori “Bang for Buck”: Kedudukan ini mengukur jumlah runway yang diperoleh startup teknologi, secara purata, daripada satu pusingan VC.
Bakat berkualiti dan kemudahan dalam menjalankan perniagaan merupakan antara faktor tarikan bagi startup untuk berpindah ke ekosistem ini.
GSER 2024 menganalisis data lebih daripada 4.5 juta startup merangkumi 300 ekosistem global serta menyediakan trend global dan panduan dasar kepada lebih 160 kementerian yang melibatkan ekonomi dan inovasi serta agensi awam serta swasta di lebih 55 negara. – 14 Jun, 2024.
Komen