PEGUAM mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf – ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh – akan mempertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan tambahan untuk anak guamnya susulan maklumat siasatan terhadap mereka yang terbocor.
Malaysiakini melaporkan peguam akan memantau situasi semasa sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Terdahulu semalam pemberi maklumat “Edisi Siasat” membocorkan apa yang didakwa sebagai diari siasatan polis berkaitan kes terhadap Zaim dan Ismanira, kurang 24 jam selepas pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen.
Kedua-duanya didakwa melakukan pengabaian terhadap mangsa. Mereka mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin.
Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim dilaporkan berkata beliau akan berbincang berkenaan keadaan itu dengan anak guamnya terlebih dulu.
“Setakat ini kami memantau situasi, dan jika keadaan menjadi serius dengan kemungkinan bahaya kepada klien saya, saya akan berbincang (lebih lanjut) dengan klien saya,” kata Fahmi kepada Malaysiakini.
Mahmud Jumaat, iaitu peguam Ismanira berkata beliau juga akan mempertimbangkan permohonan mendapatkan perlindungan tambahan untuk Ismanira.
“Saya bukan sahaja bimbang tentang keselamatan (fizikal) dia, tetapi juga tekanan mental.
“Dia dimalukan sedemikian rupa, sedangkan kita tidak tahu kesahihan kertas siasatan yang bocor itu,” katanya kepada Malaysiakini.
Mahmud berkata sebarang spekulasi yang dibuat mengenai kes berkenaan selepas anak guamnya didakwa mungkin boleh dianggap menghina mahkamah atau subjudis.
Menurut kertas pertuduhan, pasangan itu didakwa secara bersama mengabaikan anak lelaki mereka yang berusia enam tahun, Zayn, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari pada 5 Disember dan 9.55 malam pada 6 Disember.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 undang-undang yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Mereka ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei, dan direman selama 13 hari mulai 1 Jun untuk membantu siasatan kes pembunuhan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 14 Jun, 2024.
Komen