SPRM masih cuba kesan menantu Muhyiddin


Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata usaha memburu menantu kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin termasuk mendapatkan kerjasama Interpol dan pihak berkuasa lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2023.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih cuba menjejaki ahli perniagaan, Muhammad Adlan Berhan, yang juga menantu kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata usaha memburu Adlan termasuk mendapatkan kerjasama Interpol dan pihak berkuasa lain.

“Tiada perkembangan, beliau belum lagi dapat dikesan atau menghubungi kita (SPRM) untuk menyerah diri.

“Tindakan lanjut setakat ini kita masih teruskan usaha dengan Interpol dan pihak berkuasa lain bagi mengesan beliau,” katanya dipetik daripada Bernama.

Laporan media berkata SPRM mencari Adlan dan peguam, Mansoor Saat bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Pihak berkuasa berkata Adlan dan Mansoor keluar dari negara ini masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Azam menolak dakwaan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin berkenaan pendakwaan terhadap anaknya adalah berunsurkan politik.

Azam berkata SPRM bukan alat kerajaan untuk pendakwaan terpilih dan agensi penguatkuasa itu bertindak secara profesional.

“Saya tidak setuju dengan kenyataan itu kerana tindakan kami adalah profesional, tidak kira sama ada individu itu pegawai kerajaan, ahli politik kerajaan atau siapa pun.”

Pada 5 Jun, anak lelaki Hamzah, Muhammad Faisal, 40, yang juga seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menerima rasuah RM100,000 sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd melantik Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran. – 13 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen