SIASATAN kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin akan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Peguam Fahmi Abd Moin berkata siasatan diteruskan walaupun ibu bapa mangsa sudah didakwa atas tuduhan pengabaian kanak-kanak di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak hari ini.
“Walaupun kedua-dua ibu bapanya dibebaskan atas ikat jamin selepas mereka didakwa secara rasmi, siasatan berkenaan pembunuhan kanak-kanak itu akan diteruskan.
“Polis akan terus mencari pembunuh sebenar,” katanya.
Awal hari ini, ibu bapa kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kerana mengabaikan anak mereka.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya 29 tahun, mengakui faham pertuduhan dibacakan terhadap mereka dan mengaku tidak bersalah.
Mereka ditahan pada 31 Mei. Polis turut menahan datuk dan nenek Zayn semalam.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar berkata datuk dan nenek mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Mayat Zayn yang berusia enam tahun ditemui pada 6 Disember lalu dalam keadaan terbaring di dalam sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya. Dia dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan kerana mempertahankan diri di badannya. – 13 Jun, 2024.
Komen