Datuk dan nenek Zayn Rayyan kini ditahan, kata polis


Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak austime itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2024.

POLIS hari ini mengesahkan menahan datuk dan nenek Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak austime itu.

“Ya, kedua-duanya ditahan kira-kira jam 2.30 petang dan ditahan di Subang Bestari.

“Kami akan memohon reman mereka di mahkamah Petaling Jaya esok,” katanya ketika dihubungi.

Awal hari ini, Mahmud Jumaat yang merupakan peguam yang mewakili ibu bapa kanak-kanak autisme yang dibunuh itu berkata ibunya tidak membuat pengakuan sebaliknya hanya memberi kenyataan kepada mahkamah.

Beliau berkata sesi mahkamah tertutup itu adalah untuk mendapatkan keterangan anak guamnya di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

“Sebarang pengakuan yang dibuat dalam tahanan polis tidak boleh digunakan di mahkamah melainkan ia dibuat dengan kehadiran hakim mahkamah sesyen atau majistret,” katanya pada sidang media hari ini.

Difahamkan datuk dan nenek kanak-kanak itu juga berada di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn yang berusia enam tahun ditemui dalam keadaan terbaring di dalam sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya. Dia dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan mempertahankan diri di badannya.

Pasangan itu ditahan polis dua minggu lalu bagi membantu siasatan.

Mahkamah Majistret pada Jumaat lepas melanjutkan perintah reman terhadap ibu bapa Zayn selama enam hari lagi sehingga 12 Jun.

Ibu bapa kanak-kanak itu pada mulanya direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes pembunuhan. – 12 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen