IBU kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak membuat pengakuan tetapi hanya memberi kenyataan kepada mahkamah hari ini, kata peguamnya Mahmud Jumaat.
Mahmud berkata, sidang tertutup hari ini adalah untuk mendapatkan keterangan suspek mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.
“Sebarang pengakuan yang dibuat dalam tahanan polis tidak boleh digunakan di mahkamah melainkan ia dibuat dengan kehadiran hakim mahkamah sesyen atau majistret,” katanya pada sidang media hari ini.
Seksyen 26(1) Akta Keterangan menyatakan tiada pengakuan yang dibuat oleh sesiapa semasa di bawah jagaan polis boleh digunakan di mahkamah melainkan ia dibuat dengan kehadiran hakim mahkamah sesyen atau majistret.
Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn yang berusia enam tahun ditemui dalam keadaan terbaring di sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Zayn dipercayai dibunuh selepas hasil bedah siasat menemui kesan luka mempertahankan diri pada tubuh kanak-kanak berkenaan.
Pasangan itu ditahan polis dua minggu lalu bagi membantu siasatan.
Mahkamah Majistret pada Jumaat lalu melanjutkan perintah reman terhadap ibu bapa Zayn selama enam hari lagi sehingga 12 Jun.
Ibu bapa kanak-kanak itu pada mulanya direman selama tujuh hari untuk membantu kes pembunuhan itu. – 12 Jun, 2024.
Komen