Syarikat tunda kenderaan, pengeluar bahan binaan jangan naik harga melampau


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata KPDN akan ambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada syarikat menaikkan harga melampau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2024.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberi amaran kepada pengeluar bahan binaan dan syarikat tunda kenderaan tidak keterlaluan menaikkan harga.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata walaupun syarikat tunda kenderaan dan pengeluar bana binaan tidak layak untuk subsidi diesel, mereka tidak boleh mengeksploitasi keadaan dan menaikkan harga.

“Mereka harus berhati-hati menaikkan harga. Sekiranya tidak berhati-hati mungkin akan dikira mencatut.

“KPDN tidak akan teragak-agak ambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya.

Terdahulu dilaporkan beberapa syarikat penunda kenderaan dan pengeluar bahan binaan mengumumkan semakan harga baharu perkhidmatan susulan peningkatan harga diesel daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter.

Dalam notis kepada pelanggan, sebuah syarikat pembekal simen di Temerloh berkata mereka menjangka kenaikan harga bahan mentah dan pengangkutan susulan kenaikan harga diesel.

Syarikat itu berkata semua harga bahan binaan akan naik, sementara caj tambahan dikenakan untuk penghantaran di luar kawasan 30km.

Dalam satu lagi notis, pengendali trak penunda berkata akibat kenaikan harga diesel, semua caj tunda akan turut dinaikkan.

Dalam mengumumkan harga baharu itu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah berkata harga diesel akan berdasarkan kepada mekanisme harga automatik bermula Mei.

Amir berkata kerajaan akan mengumumkan harga pasaran diesel secara mingguan menurut amalan standard kementerian. – 11 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen