KERAJAAN dilihat tergesa-gesa menamatkan subsidi diesel menyeluruh berkuat kuasa semalam tanpa mengambil kira kesan sepenuhnya kepada rakyat, kata P Ramasamy hari ini.
Presiden Urimai itu berkata kerajaan gagal mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi kategori B40 daripada kesan terburuk yang timbul daripada kenaikan kos sara hidup berikutan pemansuhan subsidi diesel.
“Saya beranggapan subsidi diesel yang disasarkan diperkenalkan tanpa banyak fikir atau pemahaman.
“Sekiranya kerajaan serius mahu menjimatkan wang, maka ia harus memikirkan langkah-langkah selari seperti mengurangkan perkhidmatan awam yang membebankan, menutup agensi yang tidak mempunyai tujuan, membendung kekosongan otak dengan mengemukakan idea meritokrasi yang telah lama dielakkan oleh kerajaan dan lain-lain.
“Menjimatkan wang untuk negara melalui pelaksanaan subsidi diesel bersasar memberikan banyak kesan yang tidak sepatutnya.,” kata bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan.
Tambah Ramasamy rangka kerja yang lebih luas, komprehensif dan sistematik diperlukan untuk menangani dilema kewangan yang dihadapi kerajaan.
“Langkah jangka pendek mempunyai peluang untuk gagal tanpa mencapai objektif yang dimaksudkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kerajaan membenarkan diesel dijual pada harga pasaran mulai 10 Jun. Putrajaya berkata ini akan meningkatkan kewangan negara.
Bagaimanapun subsidi bersasar masih diberikan di bawah skim Budi Madani di mana pemilik kenderaan diesel persendirian, petani berskala kecil dan penanam komoditi akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan.
Di bawah rasionalisasi diesel yang hanya berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia, harga baharu diesel tanpa subsidi ialah RM3.55 seliter, meningkat 55% daripada RM2.15 sebelum ini.
Berikutan pemansuhan subsidi diesel ramai yang melahirkan kebimbangan di media sosial bahawa harga barangan keperluan akan meningkat seiring dengan kenaikan kos pengangkutan.
Beberapa perniagaan juga dilaporkan memaklumkan kepada pelanggan bahawa mereka akan dipaksa untuk menaikkan harga barangan jualan.
Di media sosial, pengumuman sedemikian oleh pengendali perkhidmatan tunda, kedai perkakasan dan pembekal konkrit antara lain telah menjadi tular.
Perniagaan ini berkata kos pengangkutan mereka akan meningkat dengan penghapusan subsidi.
Semalam MCA mendesak Putrajaya menggantung sementara apungan harga diesel bagi membolehkan rakyat ada masa yang cukup untuk membiasakan diri dan mendaftar dengan program bantuan subsidi diesel Budi Madani.
Naib Presidennya Wee Jeck Seng berkata penggantungan itu juga membolehkan kerajaan untuk menilai semula kekurangan dalam inisiatif Budi Madani.
Beliau berkata bantuan subsidi diesel Budi Madani RM200 sebulan bukan sahaja tidak mencukupi malah boleh diabaikan berbanding kenaikan harga diesel sekarang.
Orang ramai yang memohon subsidi RM200 ini mesti memenuhi pelbagai syarat yang ketat dan skim itu juga mengabaikan bidang penting tertentu, tambah Ahli Parlimen Tanjung Piai itu.
Tambahnya jika kerajaan berkeras untuk melaksanakan apungan harga diesel, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menerima pakai pengurangan subsidi secara berperingkat.
Ramasamy hari ini juga bersetuju subsidi diesel yang disasarkan perlu diperkenalkan secara beransur-ansur, memberikan masa dan ruang kepada kerajaan untuk melihat kesannya.
“Pengenalan secara tiba-tiba subsidi diesel disasarkan mungkin menimbulkan masalah dalam jangka panjang, masalah yang mungkin tidak dijangka oleh kerajaan,” katanya. – 11 Jun, 2024.
Komen