TARIKH akhir Julai yang ditetapkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di Sabah tidak boleh dilihat sebagai jangka waktu untuk mencapai sasaran itu tetapi sebagai nasihat menggiatkan lagi usaha untuk menamatkan masalah itu, kata Masidi Manjun.
Menteri kewangan Sabah itu berkata kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang tarikh akhir untuk menamatkan isu kemiskinan tetapi fokus kepada mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.
“Sebenarnya Sabah tidak memilih jangka waktu untuk tamatkan kemiskinan. Cabaran sebenar adalah bekerja keras dan mencari cara yang mampan untuk menamatkan terus masalah kemiskinan,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.
Masidi berkata tarikh akhir ditetapkan Anwar tidak boleh dilihat sebagai rangka waktu tetapi sebagai arahan untuk bekerja keras mengakhiri masalah kemiskinan di Sabah.
“Jadi, persoalannya adalah sama ada cabaran itu boleh dicapai atau tidak, itu tidak penting. Ia lebih kepada menggandakan usaha bagi memastikan kemiskinan dapat dihapuskan secara keseluruhan,” katanya.
Ketika sambutan Kaamatan di Panampang pada 31 Mei, Anwar memuji kerajaan negeri Sabah kerana mengurangkan kemiskinan tegar isi rumah daripada 22,000 kepada 9,000.
Beliau kemudian memberikan akhir Julai sebagai tarikh akhir untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di Sabah. – 10 Jun, 2024.
Komen