PEGUAM ibu bapa mangsa pembunuhan Zayn Rayyan berharap dapat bertemu anak guamnya sebelum tempoh reman pasangan itu tamat.
Fahmi Abd Moin berkata beliau akan mengemukakan permohonan kedua kepada polis pada Isnin selepas polis gagal memberikan maklum balas permohonan pertama.
“Buat masa ini, kami masih belum diberikan akses untuk bertemu anak guam kami. Kami juga belum mendapat sebarang maklum balas (daripada polis) berhubung permohonan pertama kami untuk berbuat demikian.
“Oleh itu kami akan menghantar permohonan susulan esok,” katanya dipetik akhbar The New Straits Times.
Bekas timbalan pendakwa raya itu dilantik sebagai peguam baru ibu bapa Zayn Rayyan.
Pelantikannya dibuat selepas bekas peguam bela pasangan itu Mahmud Abdul Jumaat berkata beliau tidak akan lagi mewakili mereka setakat Selasa lalu.
Mahkamah Majistret pada Jumaat lepas melanjutkan perintah reman terhadap ibu bapa Zayn selama enam hari lagi sehingga 12 Jun pada hari Jumaat.
Ibu bapa kanak-kanak itu pada mulanya direman tujuh hari bermula 1 Jun hingga hari ini bagi membantu kes pembunuhan yangdisiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember lalu mayat Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ditemui dalam keadaan terbaring di sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang mendapati terdapat kesan kecederaan di leher dan badan Zayn Rayaan, dipercayai kesan tindakan jenayah.
Pada Sabtu Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata tahanan reman dilanjutkan selepas polis mendapati terdapat percanggahan keterangan daripada saksi dan ibu bapa mangsa.
Beliau berkata peguam ibu bapa boleh berjumpa anak guam mereka tetapi mengikut budi bicara polis.
“Mereka boleh sama ada bertemu anak guam dalam tempoh reman atau selepas itu.
“Polis mempunyai budi bicara untuk memastikan bila (mereka boleh berjumpa),” katanya. – 9 Jun, 2024.
Komen