Aktivis gesa tindakan dibuat terhadap Firdaus Wong


Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global S. Shashi Kumar berkata kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap Firdaus Wong kerana melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Vibes, 9 Jun, 2024.

SEORANG aktivis meluahkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan yang masih berdiam diri berkenaan dakwaan hasutan pendakwah Islam Firdaus Wong untuk menukar agama pelajar sekolah menengah.

Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global S. Shashi Kumar berkata kerajaan mesti mengambil tindakan terhadap Firdaus Wong kerana melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah hampir seminggu video itu tular dan kami masih belum melihat sebarang kenyataan dan tindakan daripada pihak polis, Jabatan Peguam Negara atau Kementerian Pendidikan.

“Mereka mesti mengambil tindakan proaktif terhadap orang seperti Firdaus Wong,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dia merujuk kepada video yang menunjukkan Firdaus Wong memberitahu seorang guru tentang cara menukar agama pelajar sekolah menengah.

Video itu yang dimuat naik di akaun TikTok Firdaus Wong awal minggu ini menimbulkan kemarahan dan kritikan orang ramai.

Video klip selama empat minit itu menunjukkan Firdaus Wong dan guru membincangkan penukaran agama pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima.

Dalam video itu memaparkan seorang lelaki dipercayai juga seorang pendakwah agama bertanya kepada Firdaus tentang apa yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.

Shashi berkata beberapa pergerakan masyarakat sivil dan aktivis akan mengadakan sidang media pada hari Selasa untuk mengetengahkan mengenai perkara itu.

“Kami juga memerlukan media untuk menekan pihak berkuasa bagi mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – 9 Jun, 2024.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen