Seorang lagi mangsa kemalangan lori, bas meninggal dunia, kata laporan


Dalam kejadian jam 1 pagi itu sebuah bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu hilang kawalan melanggar lori sarat gegelung besi dan terbalik. – Gambar Facebook, 9 Jun, 2024.

SEORANG lagi mangsa kemalangan kemalangan membabitkan sebuah bas dan lori treler di Jalan Kuantan-Segamat dekat persimpangan Bahau awal hari ini dilaporkan meninggal unia, lapor Bernama.

Ketua Polis Daerah Rompin Nor Azman Yusof berkata mangsa ketiga dikenali sebagai Hamzah Ahmad, 60, seorang guru yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Sebelum ini dua mangsa dilaporkan maut — pemandu kedua bas itu dikenali sebagai Adi Hasan, 29, dan seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48. Pemandu lori treler itu melarikan diri tanpa cedera,” katanya.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu sebuah bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu hilang kawalan melanggar lori sarat gegelung besi dan terbalik.

Nor Azman berkata bas itu membawa guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah, Melaka bersama murid-murid ke Terengganu untuk menghadiri program sekolah.

Seramai 36 lagi mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Muadzam Shah, Hospital Rompin dan Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Sementara itu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata beliau sedang menunggu laporan penuh mengenai kemalangan itu tetap sudah mengarahkan supaya kebajikan guru dan kanak-kanak di hospital dijaga dengan baik.

Beliau berkata beberapa guru yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kerana cedera parah.

Fadhlina berkata kementerian juga akan menghantar kaunselor ke sekolah berkenaan bagi memberi sokongan psikososial kepada rakan guru dan pelajar. – 9 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen