POLIS menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin dalam tempoh enam hari, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.
Beliau berkata polis akan melihat semula semua aspek kes itu, termasuk kenyataan yang bercanggah diberikan suspek dan saksi.
“Ada perkara yang perlu disemak kembali seperti perkara yang tidak selari dengan siasatan kami.
“Memandangkan ibu bapa mangsa ditahan reman enam hari lagi, kami akan gunakan masa itu untuk melengkapkan siasatan termasuk keterangan saksi dan bukti fizikal,” katanya dipetik berkata kepada wartawan di satu program di Kajang hari ini.
Beliau berkata sejak penahanan ibu bapa Zayn Rayyan, polis ada mengambil keterangan daripada pengasuh kanak-kanak itu dan dua ahli keluarga.
“Terlalu awal untuk mengulas hasil siasatan. Kita akan lengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.
Katanya, siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh enam hari atau ia akan memerlukan lebih banyak masa lagi bergantung kepada hasil siasatan.
Beliau berkata peguam ibu bapa terbabit boleh bertemu anak guamnya atas budi bicara polis.
“Peguam boleh bertemu anak guan dalam tempoh reman atau selepas itu,” katanya.
Mahkamah Majistret hari ini menyambung perintah reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan selama enam hari lagi hingga 12 Jun.
Ibu bapa kanak-kanak terbabit pada awalnya direman tujuh hari bermula 1 Jun, bagi membantu siasatan kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui di anak sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh berdasarkan kepada keputusan bedah siasat yang mendapati ada kesan kecederaan akibat mempertahankan diri di leher dan badannya. – 8 Jun, 2024.
Komen