KEPUTUSAN untuk melantik Baldev Singh Gurchan Singh sebagai pengerusi Lembaga Rayuan untuk Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang dibuat secara kolektif tanpa sebarang agenda tersembunyi atau niat tidak baik, kata Jagdeep Singh Deo.
Mengulas buat kali pertama secara kontroversi tercetus di mana Baldev adalah bapa mertua Jagdeep, timbalan ketua menteri II negeri itu berkata keputusan berkenaan dibincangkan dan diwartakan pada mesyuarat exco.
“Semua orang kenal siapa Baldev kerana beliau peguam kanan paling senior. Beliau dipilih berdasarkan kepada pengalaman dan kemahirannya, bukan sebab lain,” katanya.
Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat berkata, bapa mertuanya yang berusia 80 tahun itu, mempunyai pengalaman dalam bidang undang-undan selama lebih 60 tahun.
“Ia adalah jawatan biasa kerana tidak banyak aktiviti berkaitan enakmen itu. Ia juga tidak membabitkan elemen kewangan.
“Kami tidak nampak apa yang salahnya kerana Baldev seorang peguam senior dan berkelayakan,” katanya.
Jagdeep berkata Baldev menolak pelantikan itu kerana tidak mahu memanjangkan lagi kontroversi.
“Pengerusi baharu sudah dipilih dan namanya akan diumumkan tidak lama lagi.
“Saya fikir tidak adil untuk menghukum seseorang hanya kerana beliau ada kaitan dengan seorang pemimpin. Apa perasaan anda jika bapa mertua anda dinafikan hak kepada sesuatu jawatan hanya kerana kedudukan anda dalam masyarakat,” katanya.
Ia adalah jawatan yang tidak berbayar dan Baldev sedia menerimanya sebagai khidmat kepada masyarakat, kata Jagdeep.
Beliau berkata isu itu dianggap selesai dan kerajaan negeri tidak akan memanjangkan perkar itu. – 6 Jun, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen