Putrajaya perlu sediakan ekosistem EV, kata MCA


Kerajaan perlu menambah usaha untuk mempromosikan penggunaan kereta elektrik menerusi penyediaan ekosistem yang lebih baik, kata MCA. – Gambar fail EPA, 6 Jun, 2024.

KERAJAAN perlu menambah usaha untuk mempromosikan penggunaan kereta elektrik (EV), kata MCA.

Timbalan Presiden MCA Wee Jeck Seng berkata ini termasuk menyediakan stesen pengecasan mencukupi, memastikan bayaran pengecasan munasabah dan memperkasakan infrastruktur EV sedia ada.

Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata pengumuman kerajaan baru-baru ini berkenaan insentif cukai untuk kenderaan sifar pelepasan (ZEV) tidak mencukupi.

“Dasar sokongan dan insentif perlu ditawarkan bagi menggalakkan lebih banyak pemasangan stesen pengecasan di stesen minyak, pusat beli-belah, kondominium dan tempat awam bagi meluaskan akses kepada pemandu EV.

“Ini kerana kekurangan kemudahan pengecasan dan harga EV antara faktor yang mempengaruhi keputusan pengguna untuk membeli EV,” katanya dalam satu kenyataan.

Wee berkata kerajaan dapat menangani kebimbangan pengguna berkaitan EV dengan menyediakan ekosistem EV yang lebih baik.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan kadar cukai jalan untuk EV berdasarkan kepada kuasa kenderaan eletrik itu, berkuatkuasa 1 Januari, 2026.

Loke berkata bayaran baru adalah 85% lebih rendah berbanding kadar sedia ada yang bertujuan menggalakkan orang ramai berubah kepada penggunaan EV.

Pada Februari 2022, Jabatan Pengangkutan Jalan mengumumkan tawaran insentif pengecualian penuh cukai jalan untuk kenderaan EV bermula 1 Januari, 2022 hingga 31 Disember, 2025. – 6 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen