BEKAS timbalan pendakwa raya (DPP) Fahmi Abd Moin akan mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang pada masa ini masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes bunuh.
Fahmi berkata keluarga itu melantiknya sebagai peguam pasangan suami isteri itu.
“Saya akan hadir pada prosiding tamat reman pada Jumaat,” katanya kepada Berita Harian.
Zahari Mohd Reba, datuk kepada kanak-kanak autisme itu mengesahkan pelantikan Fahmi.
Ia susulan peguam Mahmud Abdul Jumaat menarik diri daripada kes itu.
Mahmud dari Tetuan Emir Mahmud & Co dilantik oleh keluarga itu selepas suami isteri terbabit ditahan pada Jumaat lalu.
Zayn Rayyan ditemui mati di Damansara Damai pada Disember lalu.
Kes itu, yang diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, difailkan semula sebagai kes bunuh selepas polis menemui bukti.
Mayat mangsa ditemui selepas lebih 30 jam dia dilaporkan hilang pada 5 Disember.
Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan Zayn. Polis percaya dia dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di anak sungai.
Pada Januari, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis telah merekodkan keterangan lebih 200 individu berhubung kes itu. – 5 Jun, 2024.
Komen