MUHAMMAD Faisal Hamzah, anak kepada ketua pembangkang Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM100,000.
Faisal, 40, didakwa menerima wang itu daripada Izmir Abd Hamid sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Syarikat ini dikatakan membayar komisen sejumlah RM700,000 selepas Heitech Padu Berhad memperoleh tender bernilai RM33 juta daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Tender itu bagi membekalkan, menyewa, melaksanakan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Publika Shopping Gallery, Jalan Dutamas 1, pada Mac 2018.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Hakim Rozina Ayob kemudian menetapkan ikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 5 Julai untuk tarikh sebutan semula.
Pada April tahun lalu, Faisal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan subsidi minyak masak.
Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban bersama Azizul Abdul Halim, 55. Kedua-duanya adalah pengarah Rimba Merpati.
Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan menyediakan invois palsu berkenaan jualan minyak kepada syarikat jualan tempatan. – 5 Jun, 2024.
Komen