PENYAIR dan pelakon terkenal Pyanhabib Rahman meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang pada malam tadi, kira-kira seminggu selepas menyambut ulang tahun kelahirannya ke-66.
Pyanhabib atau nama Mohd Supyan Abdul Rahman dilaporkan mengalami masalah organ hati dan tahap kesihatannya merosot selepas pulang dari mengerjakan umrah tahun lalu.
Berita pemergian seniman itu antara lain dikongsi Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menyifatkan allahyarham sebagai seniman yang disayangi dan disegani.
Fahmi yang juga seorang aktivis teater berkata persembahan sajak allahyarham sentiasa dinanti-nantikan.
Anak kelahiran Taiping, Perak itu terkenal dengan kegiatannya bersama kolektif seni Anak Alam sejak 1976 dan terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.
Pyanhabib pernah dicalonkan untuk anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ketujuh namun menolak anugerah tersebut.
Beliau juga dikenali sebagai watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan (1986) dan turut tampil dalam Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987) dan Tak Kisahlah Beb (1989).
Wataknya juga diabadikan dalam novel grafik karya Lat bertajuk Mat Som, yang kemudian difilemkan dengan tajuk sama pada 1990.
Selain itu, Pyanhabib tampil dalam filem Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Ampang Utara pagi ini. – 5 Jun, 2024.
Komen