JAWATANKUASA khas yang ditubuhkan untuk memantau secara terperinci penjagaan pokok di ibu negara akan mengadakan mesyuarat pertama bulan ini, lapor Bernama.
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa berkata walaupun mesyuarat julung kali diadakan bulan ini, tarikhnya masih belum diputuskan.
“Kami akan menjemput Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk hadir (mesyuarat pertama),” katanya.
Dr Zaliha berkata antara pihak berkepentingan dalam jawatankuasa khas itu ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), arborists (pakar tumbuhan kayu) dan pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Ketika ditanya mengenai cadangan KPKT mengenai keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai arborists dalam perkhidmatan bagi menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran, Dr Zaliha berkata cadangan itu diterima baik tetapi PBT di Wilayah Persekutuan ingin mempunyai arborists serta kepakaran luar.
Pada 20 Mei lalu, Dr Zaliha dilaporkan berkata perbincangan berkaitan pelaksanaan dan penjagaan pokok di Kuala Lumpur akan diadakan tidak lama lagi dengan jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan.
Penubuhan jawatankuasa khas itu susulan beberapa kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang, termasuk pada 7 Mei lalu yang meragut nyawa seorang lelaki serta merosakkan 17 kenderaan serta sebahagian landasan monorel di Jalan Sultan Ismail.
Kejadian lain berlaku pada 13 Mei di mana sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang menyebabkan kenderaan polis yang mengiringi Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusof rosak; dan pada 25 Mei lalu melibatkan pokok tumbang di beberapa lokasi di Kuala Lumpur yang menyebabkan kenderaan rosak dan menghalang laluan. – 4 Jun, 2024.
Komen