MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion membabitkan Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah ke 19 Jun.
Hakim Muhammad Jamil Hussin turut memberi tempoh dua minggu kepada pihak pembelaan kedua-duanya untuk meneliti dokumen diserahkan oleh pihak pendakwaan.
“Perbicaraan akan bermula 19 Jun,” katanya.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 30 hari antara bulan ini hingga 31 Julai untuk bicara.
Peguam K Kumaraendran yang mewakili Irwan memberitahu mahkamah bahawa pasukan peguam bela belum menerima set lengkap dokumen perbicaraan.
Shafee Abdullah yang mewakili Najib, memberitahu mahkamah pihak pembela dimaklumkan dokumen tambahan akan diberikan hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Hashim Musaimi berkata pihaknya tidak ada bantahan terhadap permohonan penangguhan.
Pada 25 Oktober, 2018, Najib, 68, dan Irwan, 64, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan semua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya antara 21 Disember, 2016 dan 18 Disember, 2017.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – 4 Jun, 2024.
Komen