Peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan tarik diri


Mayat kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin itu ditemui lebih 30 jam selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember. – Gambar Facebook, 4 Jun, 2024.

PEGUAM yang mewakili ibu bapa kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin menarik diri daripada kes itu berkuatkuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan, Mahmud Abdul Jumaat berkata beliau membuat keputusan itu susulan perlu fokus kepada beberapa kes lain yang sedang berjalan.

Sehubungan itu, Mahmud daripada Tetuan Emir Mahmud & Co memutuskan untuk tidak lagi mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, yang pada masa ini sedang ditahan reman.

Reman tujuh hari itu akan berakhir pada 9 Jun.

“Saya mendoakan agar perjalanan kes tersebut berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

“Sebagai pengamal undang-undang, saya minta semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes berkenaan demi kebaikan bersama,” katanya.

Mahmud dilantik oleh keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan polis pada Jumaat lalu.

Zayn Rayyan, 6, ditemui mati di Damansara Damai pada Disember lalu.

Kes itu yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kemudian difailkan semua sebagai kes bunuh.

Mayat kanak-kanak itu ditemui lebih 30 jam selepas dilaporkan hilang pada 5 Disember.

Pemeriksaan forensik mendapati ada kecederaan di leher dan badan mangsa. Polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di anak sungai.

Pada Januari, Pengatah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis mengambil keterangan lebih 200 individu berhubung kes itu. – 4 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen