PARTI berasaskan kaum India – Urimai sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Setiausaha agung protem parti itu, M Satees berkata mesyuarat akan diadakan tidak lama lagi bagi memutuskan sama ada mereka akan bertanding atau tidak seperti pada PRK Kuala Kubu Baharu, baru-baru ini.
KKB dimenangi Pakatan Harapan walaupun jumlah pengundi India keluar mengundi merosot.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematiannya penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 14 Mei lalu.
Terdapat kira-kira 38,409 pengundi berdaftar di kawasan itu, di mana 59.36% adalah Melayu, Cina (22.54%), Indian (17.39%) dan lain-lain (0.71%).
Satees berkata corak demografik di Sungai Bakap hampir sama dengan KKB, jadi Urimai boleh memainkan peranan terutama dalam memikat pengundi India.
“Mesej kami jelas yang masyarakat perlukan suara wakil yang lantang. Kami bukannya berada dalam politik untuk menambah parti tetapi untuk memberikan alternatif kepada politik lama yang menjatuhkan negara ini,” katanya.
Bekas Adun Bagan Dalam daripada DAP itu berkata Urimai pada masa ini akan memberi sokongan kepada Dr Amar Pritpal Abdullah iaitu bekas Adun Sungai Bakap daripada PKR, untuk bertanding di situ.
Amar Pritpal aktif di kawasan itu dan memberikan perkhidmatan perubatan, selain memberi sumbangan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang dan timbalan yang dipertua DUN.
Nor Zamri menang kerusi itu selepas menewaskan calon PH yang juga Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Sungai Bakap berada dalam Parlimen Nibong Tebal iaitu kerusi dipegang Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. – 4 Jun, 2024.
Komen