PKR akan bertanding di PRK Sungai Bakap, kata Chow Kon Yeow.
Pengerusi DAP negeri itu berkata keputusan itu dicapai susulan mesyuarat pimpinan perpaduan di Pulau Pinang hari ini.
“Kita akan pilih calon yang mewakili perpaduan, pimpinan perpaduan telah sebulat suara memutuskan calon itu daripada PKR,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Chow tidak menolak kemungkinan calon wanita kerana negeri itu menggalakkan kuota bahawa 30 peratus daripada wakil rakyatnya adalah wanita.
“Di sinilah kebijaksanaan kepimpinan tertinggi boleh memainkan peranan dalam memilih calon terbaik untuk pilihan raya kecil,” kata Chow.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah mengesahkan lima calon telah disenarai pendek oleh partinya.
Antara nama yang disebut ialah bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose dan Dr Amar Pritpal Abdullah, yang berkhidmat sebagai Adun Sungai Bakap bagi penggal 2018 hingga 2023..
Chow turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Menteri I negeri Mohamad Abdul Hamid sebagai pengarah pilihan raya bagi kerajaan perpaduan.
Beliau akan dibantu oleh empat timbalan daripada PKR, Amanah, DAP dan BN.
“Dengan semangat perpaduan dan kebersamaan, kami akan cuba memenangi semula kerusi Sungai Bakap yang diduduki calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan dan sebelum ini Pakatan Rakyat selama tiga penggal (dari 2008 hingga 2018),” kata Chow.
Pilihan raya kecil DUN Pulau Pinang diadakan apabila Adunnya dari PAS, Nor Zamri Latiff, meninggal dunia pada 14 Mei lalu.
Terdapat kira-kira 38,409 pengundi berdaftar setakat tahun lepas, di mana 59.36% daripadanya adalah Melayu, Cina (22.54%) India (17.39%) dan etnik lain (0.71%). – 3 Jun 2024.
Komen